22 November 2012

MBMB Diminta Wujud Jabatan Antarabangsa

Kendali Aktiviti & Hal Ehwal Antarabangsa Di Melaka
AYER KEROH- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) diminta mewujudkan sebuah Jabatan Antarabangsa khusus bagi mengendalikan aktiviti dan hal ehwal antarabangsa di peringkat Bandaraya Melaka.

Ianya selaras dengan kedudukannya sebagai sebuah Bandaraya Warisan Dunia (BWD) yang telah diiktiraf oleh UNESCO.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam semasa membuat arahan itu berkata, pengwujudan jabatan itu penting memandangkan Melaka kini sudah dikenali di peringkat antarabangsa dan kedudukan ke-28 destinasi dunia yang perlu dikunjungi.

“Saya minta Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu dapat menyegerakan pengwujudan Jabatan Antarabangsa yang khusus mengendalikan event-event antarabangsa, seminar, persembahan kebudayaan, persembahan muzik antarabangsa dan sebagainya,” katanya.

Menurut Ketua Menteri, setiap tahun MBMB telah menganjurkan banyak program di peringkat antarabangsa seperti Konvensyen Bandaraya Berkembar, Pesta Gendang Antarabangsa, Sambutan Bandaraya Warisan Dunia selain galeri antarabangsa di Bukit Peringgit.

“Dengan adanya jabatan ini, ia akan memudahkan lagi urusan peringkat antarabangsa dan apabila ada perjanjian persefahaman (MoU) nanti seperti pembukaan galeri antarabangsa, kita akan minta Datuk Bandar mengendalikannya,” katanya.

Katanya, di peringkat persembahan kebudayaan dan muzik antarabangsa, ia boleh diadakan di kawasan tumpuan pelancong seperti Bangunan Stadhyus, Memorial Kemerdekaan dan sebagainya, dan MBMB punyai kepakaran dan kelengkapan pertunjukkan seperti itu.

“MBMB banyak pengalaman dan ia perlu dipertingkatkan lagi dalam menarik lebih banyak event antarabangsa dianjurkan di negeri Melaka seterusnya meningkatkan lagi jumlah pelancong antarabangsa ke Melaka,” jelasnya.




Gotomelaka.blogspot.com @
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

No comments: