05 August 2011

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan

Memorial Pengistiharaan Kemerdekaan...

Kehangatan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54[2011] yang akan disambut 31 Ogos ini kian terasa dengan semakin ramai rakyat tampil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda semangat patriotik mereka kepada negara.

Sehubungan dengan itu, tempat yang amat sesuai dikunjungi ialah Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, iaitu "lubuk" yang menyimpan pelbagai maklumat mengenai sejarah kemerdekaan negara.

Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan  ini terletak di Bandar Hilir, Melaka dan berhampiran dengan tempat-tempat bersejarah yang lain seperti Kota A'Famosa dan Replika Istana Kesultanan Melayu Melaka. Berhadapan dengan memorial ini ialah Dataran Pahlawan Melaka Megamall.

Penubuhan memorial ini adalah untuk mengenang dan memperingati jasa dan pengorbanan para pejuang kebebasan dan kemerdekaan tanah air membebaskan Negara dari cengkaman penjajah yang silih berganti.

Perjuangan yang bermula seawal tahun 1511 mengambil masa 446 tahun dan diakhiri dengan pengisytiharan Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.


Memorial ini mengimbau sejarah perjuangan kemerdekaan dengan memaparkan pelbagai bahan seperti dokumen, gambar, cenderamata, keratan akhbar, pakaian rasmi, pen, keris, cop mohor, peti undi dan audiovisual.


 Tunku Abbdul Rahman mendatangani Perjanjian London pada 8 Februari 1956...


Pen Perjanjian London...


Bahan-bahan pameran dipamerkan mengikut sektor-sektor tertentu bagi memudahkan pelawat mengetahui dan memahami liku-liku perjuangan kemerdekaan negara.

Sektor tersebut ialah:
-Sektor Pengenalan dan Pertuanan Melayu,
-Sektor Menghadapi Cabaran Kuasa Asing,
-Sektor Kebangkitan Semangat Kebangsaan,

-Sektor Menentang Malayan Union
-Sektor Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu
-Sektor Menghadapi Gerakan Komunis
-Sektor Ke Arah Kemerdekaan
-Sektor Kemerdekaan
-Sektor Raja Berpelembagaan
-Sektor Ketua Negara, Negeri dan Kerajaan, dan 
-Sektor Penubuhan Malaysia.


Selain daripada itu, terdapat juga kereta Merdeka 1957 serta dua buah kereta perisai yang digunakan semasa darurat dipamerkan di bahagian luar bangunan Memorial.


Memorial ini ditempatkan di bangunan yang asalnya dikenali sebagai Malacca Club yang dibina sekitar tahun 1911 dan seni binanya memperlihatkan ciri-ciri adunan unsur-unsur tempatan dan British.

Bangunan ini dipilih kerana ianya terletak di hadapan Padang Bandar Hilir iaitu tempat di mana Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra mengisytiharkan tarikh kemerdekaan negara sekembalinya Rombongan Merdeka dari London.

Peristiwa yang berlaku pada 20 Februari 1956 itu merupakan satu episod penting dalam sejarah perjuangan kemerdekaan Negara.

Perasmian pembukaan memorial itu dilakukan Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1985.



BOLEH MENITISKAN AIR MATA




Walaupun pengunjung bukan dari kalangan mereka yang hidup di zaman penjajah namun bahan pameran dan sistem audiovisual mampu membawa pengunjung mengimbau kembali zaman tersebut.

Bagi mereka yang benar-benar menghayati bahan-bahan yang dipamerkan sudah pasti akan membangkitkan perasaan cinta dan bangga terhadap negara, terutama bila mengenang kerakusan penjajah termasuk Portugis, Belanda dan Inggeris mengeksploitasi ekonomi dan rakyat untuk kepentingan mereka.

 begitu "menghiris hati" dan boleh menimbulkan rasa benci terhadap penjajah.

Jika ada pelawat yang hidup pada zaman itu, mungkin mereka akan menitiskan air mata bila mengenang kembali kezaliman yang dilalui.

Sewaktu penentangan terhadap MALAYAN UNION...

Malaya Merdeka..



SEMANGAT PATRIOTIK


Kemerdekaan Negara disambut dengan laungan dan pekikan “Merdeka.., Merdeka.., Merdeka..!" oleh seluruh rakyat...



Para pengunjung juga berpeluang menghayati semangat, ketabahan dan pengorbanan suci mereka yang telah berjuang "bermati-matian" membebas dan memerdekakan tanahair dari cengkaman penjajah.


Penentangan terhadap penjajah dibuktikan dengan serangan-serangan balas anak negeri termasuk Datuk Dol Said di Naning, Datuk Maharajalela di Perak, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Sharif Masahor, Rentap dan Asun di Sarawak, Mat Salleh dan Antanum di Sabah, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan ramai lagi yang telah gugur sebagai pejuang menentang penjajah.

Penjajahan Jepun juga menerima tentangan daripada rakyat tempatan melalui pertubuhan-pertubuhan seperti Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA), Tentera Wataniah, Force 136, Askar Melayu Setia, Gerila Kinabalu dan sebagainya.

Pelawat juga dapat menghayati lagu-lagu patriotik tanahair yang dimainkan sepanjang waktu pameran dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5:30 petang setiap hari.

Memorial ini ditutup pada hari Isnin kecuali semasa cuti sekolah dan hari-hari kelepasan am dan masuk adalah percuma.

Pelawat juga berpeluang membeli cenderamata berupa lencana, poskad dan penerbitan-penerbitan ilmiah di kedai cenderamata.

Tayangan video mengenai peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan sejarah perjuangan kemerdekaan seperti Pengiystiharan Tarikh Kemerdekaan dan Pemasyhuran Kemerdekaan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur turut dipertontonkan.

Tayangan video filem-filem berunsur sejarah, wawancara dengan tokoh-tokoh kemerdekaan dan gerakan menentang Malayan Union turut diadakan.

Lawatilah memorial ini, ia pasti membangkitkan semangat kemerdekaan, semangat patriotik 

Dalam kehangatan negara menyambut kemerdekaan ke-54 pada 31 Ogos ini, maka amat sesuailah orang ramai terutama generasi muda mengunjungi memorial tersebut agar laungan "Merdeka, Merdeka, Merdeka" tidak sekadar tinggal sebagai perkataan sahaja.
  Masuk adalah PERCUMA..! 

Hari
Masa
Selasa hingga Khamis
9.00 pagi - 6.00 petang
Jumaat
9.00 pagi - 12.00 tgh
3.00 petang - 6.00 petang
Sabtu & Ahad
9.00 pagi - 6.00 petang
Isnin (kecuali semasa cuti umum dan cuti sekolah)
Tutup

Memorial Pengistiharaan Kemerdekaan
Jalan Parameswara,
75000 Bandar Hilir,
Melaka Bandaraya Bersejarah.
No. Tel : 06-2841231 / 2841232
No. Faks : 06-2829730



  Selamat menyambut kemerdekaan negara ke-54! 

No comments: