09 November 2011

Melaka Sentral

  Terminal, Pasar, dan Bazar 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera... 

Kompleks Melaka Sentral adalah pusat sehenti meliputi Terminal Bas dan Teksi, Pasar Besar, Bazar dan Medan selera. Ia terletak 15 minit daripada bandar Melaka dan bertentangan dengan pasaraya Tesco di Jalan Tun Razak. Terminal ini merupakan pusat pengangkutan yang menghubungkan bas dan teksi antara negeri dari seluruh pelusuk semenanjung serta perkhidmatan domestik. 

Idea penubuhannya lahir daripada ilham dan wawasan Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd. Rustam, Ketua Menteri Melaka. Dengan terbinanya kompleks ini, ia dapat memberi kepuasan kepada setiap pengunjung untuk mendapatkan perhidmatan pengangkutan awam domestik dan luar Melaka yang lebih tersusun. 

Kompleks Melaka Sentral yang berharga RM 61 juta ini di bina di atas tanah seluas 46.6 ekar di Peringgit. Kerja-kerja pembinaan telah bermula sejak Februari 2003 dan siap setahun kemudiannya, berkonsepkan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA)
Pusat hentian ini telah dirasmikan oleh Y.A.B. Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia ketika itu pada 14 Mei 2004. 

Melaka Sentral menyediakan kemudahan pengangkutan yang lengkap dengan kompleks beli-belah yang menjadi mercu tanda penbangunan Negeri Melaka 'ke Arah Melaka Maju 2010'. 
Dirasmikan oleh Tun Abdullah..

Rekabentuk terminal ini adalah gabungan motif  Tradisional  Malaysia dan  Moden . Bangunan satu tingkat yang luas ini direka dengan atap yang tinggi dan mempunyai bukaan cahaya yang menerangi terminal ini yang berhawa dingin sepenuhnya. Bangunan ini mempunyai bahagian yang berbeza untuk bas dan teksi. Setiap bahagian mempunyai ruang tengah yang direka dengan taman tropika. Bahagian ini dilengkapi dengan kemudahan kafe jalanan, restoran dan kedai makanan segera serta kedai barangan untuk kemudahan pengunjung. Kaunter Penerangan terletak diantara dua bahagian ini. 

Terdapat 24 kaunter tiket dan 24 ruang pelepasan untuk perkhidmatan bas ekspres antara negeri. Untuk perkhidmatan bas domestik pula, terdapat 12 kaunter tiket dan 18 ruang pelepasan. Untuk mereka yang ingin berjalan dengan teksi, terdapat banyak ruang untuk teksi antara negeri dan domestik di terminal teksi. 
Dilengkapi dengan kemudahan kafe jalanan, restoran dan kedai makanan segera serta kedai barangan untuk kemudahan pengunjung...

 Diantara Medan Selera yang terdapat di Melaka Sentral...

Terminal Melaka Sentral yang berhawa dingin terdapat ruang-ruang menunggu yang selesa bagi penumpang-penumpang bas ekspress, domestik dan juga teksi. Boleh dikatakan Melaka Sentral adalah pusat sehenti yang canggih di Malaysia, Asia dan di dunia dan merupakan sebuah pusat pengangkutan awam yang menghubungkan Melaka dengan kawasan utara, selatan, timur semenanjung dan juga Singapura. 
 Terminal Bas antara Negeri...


Melaka Sentral adalah model pembangunan bersepadu dan telah mendapat pengiktirafan sebagai terminal bas dan teksi yang terbesar dan tercanggih di Malaysia oleh  Malaysia Book Of Records .

Diharap pengunjung-pengunjung di Melaka Sentral, sama ada masyarakat tempatan dan luar negara akan dapat menikmati kemudahan yang disediakan itu. Semoga dengan adanya Kompleks Melaka Sentral, ia memberi keselesaan dan kesenangan kepada semua pelancong sama ada pelancong domestik mahupun pelancong luar negara yang datang ke Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah.




By: Farihan(Han)

No comments: