15 April 2013

Ulang Tahun Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah yang Ke-10


Sedekad Bandaraya Melaka Bersejarah

 Graha Makmur yang merupakan pusat pentadbiran MBMB yang terletak di Ayer Keroh

TANGGAL 15 April 2013 genap usia sepuluh tahun Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang telah mencorakkan Bandar Raya Melaka menjadi sebuah bandaraya yang bukan sahaja terkenal di negara ini bahkan di seluruh dunia.

Sebenarnya MBMB telah lahir bersama sejarah Melaka. Sistem pentadbiran dalam menguruskan bandar Melaka telah wujud sejak tahun 1824. Perbandaran Melaka ketika itu dikenali sebagai “The Town and The Fort of Malacca” dan ditadbirkan oleh “Comittee of Assessors” di bawah Kerajaan Inggeris.

Pada 1 Januari 1977 melalui Akta 171 (1976), kawasan Perbandaran Melaka telah dicantumkan dengan Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah (MPMBB) dengan kawasan pentadbirannya seluas 114.7 batu persegi (303 km persegi).

Kawasan Jonker Walk Melaka pada tahun 1824. Kawasan ini adalah di bawah pentadbiran “The Town and The Fort of Malacca

MPMBB merupakan penggerak utama dalam menjadikan Melaka sebagai sebuah bandar raya yang dinamik, maju dan indah. Kawasan pentadbirannya maju serentak dengan pembangunan di keseluruhan Negeri Melaka, di mana tumpuan ditekankan kepada sektor-sektor pertanian, perindustrian dan yang terkini pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu kerap turun padang bertemu rakyat, termasuk di pasar malam

Pembangunan infrastruktur begitu menonjol sekali, menandingi negeri yang paling maju di Malaysia. Keadaan ini mempercepatkan aliran masuk pelabur-pelabur untuk menanam modal lantas mewujudkan peluang perkerjaan kepada penduduk-penduduknya.

Pada 15 April 2003, Majlis Perbandaran Melaka Bandaraya Bersejarah telah dinaiktaraf kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. Dengan pengiktirafan itu, MBMB akan mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada masyarakat di Melaka khususnya dan para pelancong amnya. Kemajuan dan kemakmuran yang dicapai sungguh luar biasa.

Hasil perancangan rapi yang dilakukan oleh MBMB telah menjadikan bandar raya ini semakin maju dan pesat membangun dengan pelbagai pembangunan yang dapat memacu ekonomi negeri ini sehingga menjadikan Melaka tumpuan golongan usahawan dan juga pelancong.

Tidak hairanlah mengapa Melaka yang diterajui kepimpinannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam telah menerima banyak pengiktirafan kerana kemajuan yang dilakukan di negeri ini khasnya dalam kawasan pentadbiran MBMB.

Pencapaian tertinggi apabila kawasan kompleks bersejarah di Bukit St. Paul, Banda Hilir Melaka diiktiraf oleh sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Julai 2008.

Mohd Ali bersama peserta Konvensyen Antarabangsa Melaka Bandar Raya Berkembar Ke-13, 4 April lalu iaitu persidangan yang berjaya memahatkan nama Melaka di persada dunia

MBMB terus berusaha bagi memperkenalkan Melaka khasnya di peringkat dunia dengan mewujudkan sebuah Jabatan Antarabangsa khusus bagi mengendalikan aktiviti dan hal ehwal antarabangsa di peringkat Bandaraya Melaka.

Pengwujudan jabatan itu penting memandangkan Melaka kini sudah dikenali di peringkat antarabangsa dan kedudukan ke-28 destinasi dunia yang perlu dikunjungi oleh The New York Times pada tahun 2012.

Untuk terus menjadikan Melaka sebagai sebuah bandar raya yang perlu dilawati oleh pengunjung, jabatan-jabatan yang ada di dalam pentadbiran MBMB telah dipertingkatkan lagi selaras dengan kemajuan semasa.

Kini terdapat 13 jabatan di dalam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) iaitu:-
Jabatan Kejuruteraan,
Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta,
Jabatan Pengurusan,
Jabatan Pelesenan dan Kesihatan,
Jabatan Teknologi Maklumat,
Jabatan Perundangan dan Penguatkuasaan,
Jabatan Projek Khas dan Alam Sekitar,
Jabatan Kewangan dan Jabatan Perancang Bandar.
Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam,
Jabatan Pengindahan Bandar,
Jabatan Kawalan Bangunan,
Jabatan Pengurusan Premis Perniagaan dan Khidmat Pelanggan,
Jabatan Infrastruktur Komuniti & Logistik dan Unit Pusat Setempat (OSC).

MBMB yang kini diterajui oleh Datuk Bandar, Datuk Zainal Abu terus memacu MBMB untuk menjadikan Bandaraya Melaka terus maju dan makmur. Sehubungan dengan itu, MBMB telah menjadi contoh bandar raya di Malaysia serta mendapat banyak pujian dan menerima lawatan daripada banyak negara. Pelbagai perancangan sedang dan akan dilakukan bagi memastikan Melaka terus maju dan makmur serta memastikan warga bandar raya serta pengunjung ke negeri ini memperoleh kemudahan yang terbaik ini termasuk melalui projek pelancongan, ekonomi, sosial, pendidikan dan juga kebudayaan.

MBMB juga telah melancarkan draf Rancangan Kawasan Khas(RKK) Pelan Pengurusan Pemeliharaan Bandaraya Melaka selepas Bandaraya Melaka diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Melalui RKK ini, ia akan dapat memastikan pembangunan Bandaraya Melaka untuk tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang terus mantap terutama dalam pemeliharaan kawasan-kawasan warisan UNESCO, terus kekal.

Kawasan-kawasan kajian RKK ini meliputi keseluruhan tapak warisan dunia, yang turut melibatkan kawasan yang pernah diduduki oleh kaum Portugis dan Belanda sejak abad ke-16 hingga abad ke-18. Ia terdiri daripada zon utama (39.82 hektar), zon penampan (174.67 hektar) dan zon warisan (22.99 hektar) juga meliputi kawasan Bukit St. Paul dan kawasan sekitar, manakala di bahagian barat kawasan terdapat kediaman dan perniagaan yang terdiri daripada Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Jebat, Jalan Tukang Besi, Jalan Tokong dan Jalan Pantai.

Rakyat negeri khasnya dan warga Bandar Raya Melaka yakin usaha yang dilakukan MBMB dalam menjaga pembangunan di dalam kawasannya akan membolehkan MBMB lebih maju dan makmur selaras dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Warga bandar raya juga yakin MBMB mampu menangani sebarang cabaran yang mendatang kerana apa sahaja yang dilakukan MBMB adalah demi agama, bangsa dan negara.

Yang jelas MBMB bukan sekadar menjadi ikon kebanggaan dan model kejayaan gemilang, malah pencapaiannya sepanjang sedekad ini turut menjadi tanda aras penting kepada Melaka Maju Negeriku Sayang Negeri Bandar Teknologi Hijau!

Warga bandaraya terus menyokong program-program pembangunan yang dilaksanakan oleh MBMB ke arah menjadikanya model bandaraya mampan, selamat, bersih, indah dan ceria

Festival Gendang Nusantara, acara tahunan yang menggamit penyertaan dari seluruh rantau, sekaligus berjaya meletakkan Melaka sebagai pusat budaya terunggul di rantau ini




Melaka Hari ini@ Gotomelaka.blogspot.com

No comments: