18 April 2013

Muzium Jabatan Kastam Diraja Malaysia

Masuk PERCUMA
Muzium Kastam Diraja Malaysia yang terletak di Jalan Quayside, Banda Hilir Melaka

Tentang Muzium Kastam Diraja Malaysia

Muzium Jabatan Kastam Diraja Malaysia ini merupakan muzium yang diwujudkan untuk memberi pengetahuan kepada masyarakat khususnya rakyat tempatan, pelajar, penyelidik dan pelancong akan tanggungjawab yang diamanahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pelbagai bahan sejarah dipamerkan seperti rentetan perkembangan operasi Jabatan Kastam daripada sebelum merdeka hingga kini dapat diterokai menerusi koleksi dan gambar-gambar Pejabat Kastam, Perumahan kakitangan yang dipamerkan. Semua koleksi yang diperagakan merupakan sebahagian daripada aktiviti dan tugas utama yang dilaksanakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia selain daripada memungut hasil negara seperti koleksi barang-barang larangan yang dirampas semasa dibawa masuk atau keluar negara.

Peralatan yang pernah digunakan semasa operasi memungut cukai. Buku Panduan cukai dan lain-lain lagi. Pamerannya berkonsepkan edutainment dipersembahkan dalam bentuk grafik 3 Dimensi dan pameran interaktif yang menggunakan dwi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Tentang Bangunan Muzium Kastam Diraja Malaysia

Bangunan ini telah dibina oleh pentadbir British pada awal 1890-an untuk kegunaan Jabatan Kastam ketika itu dengan senibina Inggeris menggunakan batu bata dan berbumbung genting tanah liat sebagai gudang untuk menyimpan barang-barang dagangan seperti beras, gula, tepung, rempah ratus, tekstil, seramik dan sebagainya yang diimport daripada negara China, India, Indonesia, Thailand dan Filipina. Barang-barang untuk dieksport juga disimpan di dalam gudang ini.

Bangunan Muzium Kastam Diraja Malaysia ini yang terletak di Jalan Quayside, Banda Hilir Melaka juga dikenali sebagai Gudang Kastam yang mana ianya berperanan sebagai Gudang untuk menyimpan sementara barang-barang bercukai sebelum pemeriksaan dan cukai dibayar oleh pengimport yang diangkut oleh tongkang-tongkang daripada kapal dagangan yang berlabuh di Pelabuhan Melaka dan dibawa ke muara Sungai Melaka. Pelabuhan Melaka juga dikenali sebagai Pelabuhan "Barter Trade". Secara tidak langsung Bangunan Gudang Kastam ini juga telah dijadikan Pejabat Kastam Negeri Melaka serta memainkan peranan yang penting mengendalikan pemeriksaan barangan dan mengutip cukai oleh pegawai kastam yang bertugas pada masa itu daripada era pemerintahan British sehingga selepas merdeka.

Pada tahun 1965, banguna Pejabat Pelabuhan Melaka telah siap dibina. Kakitangan Kastam telah berpindah kebangunan baru. Bangunan ini kekal sebagai Gudang Kastam dan pada tahun 1980-an sebahagian bangunan Gudang Kastam ini telah dijadikan Pejabat Kastam Bahagian Pencegahan dan stor pencegah. Pada tahun 2001 aktiviti import eksport Pelabuhan Melaka telah dihentikan dan telah dipindahkan kepada Pelabuhan Kuala Linggi dan Sungai Rambai.

Peranan Bangunan Gudang Kastam tidak terhenti disitu sahaja, diatas Inisiatif Ybhg. Dato' Haji Md. Hassim Bin Pardi, mantan Pengarah Kastam Negeri Melaka dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) bangunan ini ditukar menjadi Muzium Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan telah dilancarkan oleh YAB Datuk Wira Mohd Ali bin Rustam, Ketua Menteri Melaka pada 25 Ogos 2006.

Tentang Koleksi Di Muzium Kastam Diraja Malaysia

Muzium Jabatan Kastam Diraja Malaysia mempamerkan lebih daripada 200 koleksi bermula dengan Gencana asal sebagai gelaran "DIRAJA" kepada Jabatan Kastam Dan Eksais Malaysia yang dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-3 dipertontonkan kepada orang ramai kerana pada tarikh 29.10.1963 bermulalah Jabatan Kastam diberi gelaran sebagai Jabatan Kastam Dan Eksais Diraja. Pakaian seragam Pegawai Kastam di bawah pemerintahan British dipamerkan bersama pakaian seragam selepas merdeka serta pakaian yang pernah dipakai pada tahun 1980-an hingga tahun 2002 beserta dengan aksesori kelengkapan pakaian seragam.

Buku panduan cukai seperti Trade Classification and Customs Tariff 1978, Customs ordinance 1952 Federation of Malaya Government Gazette 1952, buku rekod gaji kakitangan Kastam Melaka tahun 1940-an, buku lawatan Pegawai Kanan Kastam 1960-an, kad kuasa daripada tahun 1920-an hingga 1960-an. Alat kelengkapan pejabat Kastam seperti mesin taip, mesin kira, alat penibang dan lain-lain lagi yang masih lagi dalam keadaan sempurna.

Muzium Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga mempamerkan koleksi hasil rampasan daripada seluruh negeri di Malaysia kini berpusat di Muzium. Barang-barang larangan seperti senjata api tiruan yang menyerupai senjata api sebenar, mercun, senjata tajam seperti pedang, pisau lipat, keris dan kain-kain bercetakkan ayat-ayat Al-Quran, peralatan menyadap todi serta banyak lagi yang pasti menarik perhatian pengunjung.

Jabatan Kastam juga diamanahkan untuk membanteras penyalahgunaan dadah. Koleksi peralatan menghisap candu seperti paip, dapur, candu masak dan lain-lain serta teknik penyeludupan tahun 1960-an juga diperagakan.

Koleksi gambar-gambar kakitangan kastam termasuk dari Sabah dan Sarawak, Tanjung Pagar Singapura semasa pemerintahan Inggeris dan gambar mantan Ketua Pengarah Kastam Malaysia turut dipamerkan. Secara langsung Muzium JKDM ini memainkan peranan untuk memberi pendidikan, informasi dan juga nostalgia kepada semua pengunjung.



Masuk adalah PERCUMA

Waktu Operasi Muzium Jabatan Kastam Diraja Malaysia :
Dibuka Setiap Hari
Isnin - Ahad (Termasuk Cuti Umum kecuali Hari Raya pertama Puasa & Raya Haji
9 pagi - 6 petang
  



Gotomelaka.blogspot.com @
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

1 comment:

♥●• İzdihër •●♥ said...

I wish I could read it. I am sure it must be informative.

Follow each other.