10 April 2013

Star Cruises Promosi Melaka Ke Seantero Dunia

Marina Melaka Pintu Masuk Pelancong

Virgo Super Star Cruise yang berlabuh di perairan Selat Melaka berhampiran Marina Melaka

BANDARAYA MELAKA- Marina Melaka kini menjadi pintu masuk utama pelancong antarabangsa berikutan usaha yang dilakukan oleh Star Cruises Travel Service(M) Sdn Bhd (Star Cruise) dengan membawa para penumpang kapal persiaran mewah ‘Virgo Super Star Cruise’ singgah ke Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Wira Latiff Tamby Chik berkata, ‘Virgo Super Star Cruise’ kini menjadikan Melaka destinasi persinggahan baru dari Singapura bagi membolehkan para penumpang antarabangsa menyertai aktiviti ‘city tour’ di sekitar Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO.

“Dengan kapisiti 2,300 orang penumpang serta 1,000 anak kapal, kini penumpang Star Cruise singgah selama 8 jam di Melaka sebelum kembali meneruskan pelayaran ke destinasi antarabangsa lain,” ujar beliau.

Latiff berkata demikian dalam siding media selepas menyambut ketibaan 1,200 orang penumpang Star Cruise dari Singapura di Marina Melaka.

Latiff bersama Ghazale dan (dari kiri) Abd Kadir, Albert, William Ng, Kamaluddin dan Lim Sue Beng

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Ghazale Mohamad; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Abd Kadir Md Idris; Pengarah Tourism Malaysia Melaka, Jeffrey Munir; Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Melaka, Datuk Lim Chow Beng dan Pengarah Jabatan Imigresen Melaka, Kamaluddin Ismail.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Star Cruise, William Ng; Naib Presiden Kanan Star Cruise, James Ng; Naib Presiden (Jualan) Star Cruise, Cynthia Lee; Presiden Malaysia Inbound Tourism Association, Datuk Albert Tan dan Timbalannya, Uzaidi Udanis dan Pengerusi MITA Chapter Melaka, Raymond Yeo.

Kata Latiff lagi, kapal persiaran Star Cruise akan singgah di Melaka sebanyak dua kali sebulan dengan jumlah penumpang antara 1,200 hingga 2,300 orang bergantung kepada saiz kapal.

Inisiatif yang dibuat oleh Star Cruise akan menggerakkan lagi industri pelancongan di Melaka dan memberi manfaat kepada banyak pihak termasuk pengusaha agensi pelancongan, pengusaha bas pelancongan, peniaga kedai cenderamata, pengusaha restoran, penarik beca dan pemandu teksi, selain membantu mempromosikan Melaka di persada dunia.

Sementara itu, William Ng pula memberitahu, pihaknya akan menggerakkan lebih 200 agen pelancongan di bawah Star Cruise bagi membantu mempromosikan Melaka di seluruh dunia.

Katanya, selain itu pihaknya dengan kerjasama MITA Pusat dan MITA Chapter Melaka merancang beberapa aktiviti baru bagi membolehkan penumpang Star Cruise berada lebih lama di Melaka.

“Kita juga sedang merancang untuk singgah ke Melaka setiap minggu serta menawarkan pakej baru termasuk menginap di sini. Kami menerima respon yang cukup memberangsangkan dari para penumpang mengenai pakej singgah ke Melaka ini, justeru kami membuat keputusan untuk singgah bermula hari ini,” ujarnya. Manakala Raymond Teo berkata, keputusan yang dilakukan oleh pihak Star Cruise merupakan pendekatan terbaik bagi menarik kedatangan pelancong antarabangsa melalui Marina Melaka.

“Saya percaya selepas ini Marina Melaka akan menjadi semakin sibuk, sekaligus menjana pendapatan baru kepada semua ‘tourism player’ yang selama ini begitu komited memajukan industri pelancongan di negeri ini dan meletakkan Melaka sebagai destinasi pelancongan popular di persada dunia,” ujarnya lagi.

Penumpang Star Cruise singgah ke Melaka melalui pakej ‘City Tour’ yang diperkenalkan oleh Star Cruise



Gotomelaka.blogspot.com @
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

No comments: