04 April 2013

Melaka Tawar Lokasi Penggambaran Menarik


Kerjasama Dengan Syarikat Filem


Adi Putra, Mohd Ali dan Nora Danish semasa sidang akhbar pelancaran Filem 'Suami Aku Ustaz' di Hard Rock Cafe Melaka

Kerajaan Negeri Melaka sedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat produksi tempatan atau luar negara yang ingin membuat penggambaran di negeri ini bagi memperkenalkan Melaka ke seluruh dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerjasama tersebut meliputi kemudahan penggambaran membabitkan lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan tanpa mengenakan sebarang caj.

"Kerjasama ini sebagai sokongan berterusan untuk memajukan industri perfileman negara bagi menjadikan Melaka sebagai hab perfileman di rantau ini.

"Malah dalam hal ini juga, kerajaan negeri akan menawarkan penginapan secara percuma kepada pelakon dan krew produksi di rumah VIP di Peringgit jika mereka menghadapi masalah untuk mencari tempat penginapan sepanjang membuat penggambaran di negeri ini," katanya.

Mohd Ali berkata demikian semasa berucap melancarkan filem 'Suami Aku Ustaz' arahan pertama pelakon terkenal tanah air Adi Putra di HardRock Cafe Melaka, Banda Hilir.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhammad, Timbalan Pengerusi IKSEP, Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin dan Pengurus Besar IKSEP, Datuk Aziz Ujang.

Filem yang menelan belanja RM1.5 juta itu diterbitkan Syarikat Nur ADP Sdn. Bhd. milik Adi Putra akan menjalankan penggambaran sepenuhnya di negeri Melaka ini, mulai bulan depan.

Filem yang berdasarkan novel terlaris 2012 itu diangkat sebagai judul filem sulung terbitan Karya Seni yang menggandingkan Adi Putra dan Nora Danish sebagai watak utama.

Mengulas lanjut Mohd. Ali berkata, sebelum ini kerajaan negeri turut bekerjasama dengan pelakon Bollywood terkenal, Datuk Shah Rukh Khan semasa menjalani penggambaran filem DON 2.

"Walaupun dalam filem DON 2, hanya 23 minit sahaja masa yang memaparkan latarbelakang Melaka kepada penonton tetapi ia secara tidak langsung turut mempromosikan negeri ini kepada dunia,'' katanya.

"Justeru, saya berharap penggambaran filem 'Suami Aku Ustaz' dapat memaparkan lebih banyak lagi lokasi-lokasi menarik di negeri ini khusunya kepada tontonan ramai apabila filem tersebut ditayangkan kepada orang ramai mulai tahun depan.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri mengalu-alukan kepada penggiat seni, produksi filem tempatan dan luar negara untuk menjadikan Melaka sebagai lokasi penggambaran filem.

"Persatuan Karyawan Malaysia, persatuan artis tempatan juga digalak untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri dalam pelbagai aktiviti bukan hanya aspek pembikinan filem sahaja," ujarnya.

Mohd Ali menerima novel 'Suami Aku Ustaz' daripada Adi Putra yang akan diadaptasikan ke layar filem

Antara wartawan dan orang ramai yang hadir pada majlis tersebut







Gotomelaka.blogspot.com @
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

No comments: