09 April 2013

Program Selangkah Ke Alam Perkahwinan 2013

Bakal Catat Malaysia Book Of Records

Mohd Ali semasa sidang akhbar Proskap di Seri Bendahara

BANDARAYA MELAKA- Hanya 200 pasangan pengantin khususnya dari negeri Melaka yang mendaftar sahaja akan diberi keutamaan menyertai Program Selangkah ke Alam Perkahwinan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, bagi pasangan terpilih, mereka hanya perlu membayar RM6,000 untuk menikmati pelbagai pakej yang ditawarkan bagi pasangan mempelai.

Keutamaan akan diberikan kepada pasangan Melayu berpendapatan kurang RM3,000, pada masa sama, mana-mana pihak yang berkeinginan menaja program ini, amatlah dialu-alukan,” katanya.

Mohd Ali berkata demikian semasa siding akhbar Program Selangkah ke Alam Perkahwinan (Proskap) yang diadakan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara di sini baru-baru ini.

Proskap siri kedua ini memberi peluang kepada pasangan mempelai yang ingin berkahwin, namum punyai masalah dari faktor kewangan menyertai acara perkahwinan beramai-ramai.

Majlis tersebut akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka(MITC) Ayer Keroh, Melaka pada 13 dan 16 September 2013 dan pasangan yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada Yayasan Patriotik Bangsa(YPB) sehingga Mei 2013.

Program anjuran Yayasan Patriotik Bangsa(YPB) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka(MAIM) dan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia Melaka (IKSEP) itu akan dicatat dalam Malaysia Book of Records(MBR) sebagai majlis pernikahan teramai yang dianjurkan di Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi YPB, Datuk Yazid Othman berkata, pasangan yang menyertai Proskap siri kedua ini bakal menikmati pelbagai kemudahan dan perkhidmatan seperti khidmat persalinan mempelai, andaman dan pelamin serta jurugambar peribadi sepanjang program.

“Mereka juga akan dibawa menaiki botMelaka River Cruise’ menyusuri Sungai Melaka di samping percutian penginapan dua hari satu malam.

Program ini bertujuan membantu pasangan berpendapatan rendah dan sederhana berkahwin di samping dapat menjimatkan kos dan mengelakkan dari perbuatan tidak diingini disebabkan masalah kewangan yang tidak cukup.

Pasangan yang berminat boleh menghubungi di talian 03-873 44475 atau lawati Facebook Page YPB atau e-mel kepada proskap@yahoo.com.

Sebahagian pengantin yang menyertai Proskap 2012




Melaka Hari Ini@ Gotomelaka.blogspot.com

No comments: