Military Community Volunteering Day
SUNGAI UDANG 6 April- Hari Terbuka Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) peringkat negeri yang diadakan serentak di 13 lokasi seluruh
negara disambut dengan cukup meriah apabila dihadiri 2,000 pengunjung
di Padang Pavilion, Kem Terendak, Melaka.
Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Razali Ahmad
berkata, Hari Terbuka ATM, merupakan julung kali diadakan di negeri ini yang
bertujuan mempromosikan bidang ketenteraan, perkhidmatan serta pameran aset dan
peralatan ketenteraan yang turut bermatlamat merapatkan hubungan antara rakyat
dengan tentera.
“Diharapkan menerusi penganjuran seumpama ini akan lebih
merapatkan lagi hubungan rakyat dengan tentera selari dengan tema sambutan,
‘Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada’ dan ini akan menambahkan lagi keyakinan rakyat
kepada pihak tentera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis yang
turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua
negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob, dan turut dilancarkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) Kuantan, Pahang.
Acara pembukaan dimeriahkan dengan persembahan lintas udara
daripada sebuah pesawat ringan yang ternyata berjaya menarik perhatian para
pengunjung.
Selain itu, turut diadakan pertunjukan payung terjun dan
meriam serta tempur tanpa senjata yang memperlihatkan kehebatan teknik
mempertahankan diri oleh anggota keselamatan negara.
Pengunjung cilik mencuba menaiki kereta perisai ATM
semasa berkunjung Hari Terbuka ATM
Gotomelaka.blogspot.com
No comments:
Post a Comment