12 April 2013

Prestasi PBT Melaka Membanggakan


Mohd Ali semasa melakukan gimik perasmian program amalan 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle

AYER KEROH– Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Melaka telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam pelbagai bidang khususnya dalam pengutipan hasil yang telah menunjukkan peningkatan ketara.

Ketua Menteri, Mohd Ali Rustam berkata, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah berjaya mencapai sasaran jumlah kutipan hasil sebanyak RM180 juta pada tahun 2012 berbanding RM140 juta pada tahun 2011.

Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pula berjaya mencapai jumlah kutipan hasil hampir RM28 juta pada tahun 2012 berbanding tahun 2011 dengan hasil kutipan RM27 juta.

“Sementara itu, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) telah berjaya memungut hasil sebanyak RM15 juta pada tahun 2012, dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah berjaya memungut hasil sebanyak RM58 juta pada tahun 2012.

“Lebih membanggakan PBT negeri ini juga telah berjaya mencapai pelbagai anugerah dan pengiktirafan yang memberangsangkan,” katanya.

Mohd Ali berkata demikian semasa berucap di Majlis Perhimpunan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka yang telah diadakan di Dewan Seri Negeri, Hampir 1,000 kakitangan PBT telah menghadiri majlis tersebut bagi mendengar mandat dari Mohd Ali dan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Md. Yunos Husin.

Pada masa sama, Mohd Ali turut merasmikan Pertandingan Sisa Pepejal dan Amalan 3R Negeri Melaka.

Tambah Mohd Ali, kerajaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih sempurna dan sentosa.

“Pelbagai usaha telah diambil khususnya program amalan 3R iaitu Reduce, Reuse dan Recycle bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat betapa pentingnya menjaga persekitaran agar dapat menikmati kehidupan yang sihat.

“Saya juga berbangga kerana semua PBT di Melaka yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam meletakkan Melaka setaraf Negara maju di dunia,” katanya.

Turut hadir, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu; Yang Dipertua MPAG, Abu Bakar Abdul; Yang Dipertua MPJ, Murad Husin dan Yang Dipertua MPHTJ, Sapiah Haron.



Gotomelaka.blogspot.com @
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

No comments: