CINCALOK atau Chinchalok/Cencaluk ialah sejenis makanan yang
dibuat daripada udang geragau (sejenis udang halus) yang diisikan dalam air
garam dan diawet untuk beberapa lama. Ini adalah istilah cencaluk yang dibaca
dari Kamus Dewan.
Geragau pula menurut Kamus Dewan ialah sejenis udang
kecil-kecill yang biasanya dibuat belacan atau dikenali udang baring dan
disebut juga acetes sdd atau geraguk. Belacan pula ialah bahan makanan yang diperbuat daripada
udang atau ikan-ikan kecil yang ditumbuk lumat untuk menyedapkan masakan atau
terasi.
Inilah makna kedua makanan yang banyak dijual di Pantai
Kundor Melaka satu ketika dulu. Pada tahun enam puluhan atau tujuh puluhan,
Cencaluk Tanjung atau Belacan Tanjung menjadi rebutan.
Kedua-dua ini adalah produk Tanjung Kling yang merupakan
sebuah pekan kecil yang terletak dalam Dewan Undangan Pantai Kundor. Pantai
Kundor sekarang telah menjadi tempat tumpuan pelancong dengan adanya Pantai Puteri
yang sangat cantik standing dengan pantai-pantai lain di dunia.
Pantai Puteri menerima ribuan pelancong setiap minggu kerana
merupakan pantai yang nyaman. Pantai ini sangat sesuai untuk menjadi tempat
perkelahan keluarga di hujung minggu.
Pekan Tanjung Kling terletak 12 kilometer dari Bandaraya Melaka
adalah sebuah pekan kecil terletak dalam Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor
dan Parlimen Tangga Batu. Pekan yang menjadi tumpuan penduduk setempat dan
masih lagi memainkan peranannya walaupun tidak pernah didendangkan.
Sehingga kini pekan ini tidak banyak berubah sejak 30 tahun
dulu selain Balai Polis Batang Tiga yang pernah dipindah ke Balai Raya Pekan
Tanjung Kling yang akhirnya dipindahkan ke premis sekarang di jalan baru ke Pantai Kundor.
Satu ketika dulu Pekan Tanjung Kling menjadi tumpuan penduduk
setempat untuk membeli barangan harian yang tidak terdapat di tempat mereka.
Penduduk sejauh Pantai Tanah Merah (kawasan Kilang Penapisan Petronas sekarang),
Pantai Rombang, Pantai Kundor.
Selain Bukit Darat, Pengkalan Perigi, Kampung Gelam, Balik
Bukit, Lereh, Pengkalan Lanjut perlu berkunjung ke pekan ini sebelum jalan baru
dibina dan Pekan Tanjung Kling dibiarkan begitu saja kerana tidak lagi
kelihatan setelah laluan bas dan teksi tidak lagi merentasi pekan ini lagi sejak
tahun 70an.
Pekan ini satu ketika mempunyai petrol stasion kepunyaan Lin
Bersaudara yang beroperasi di bawah pokok di tengah-tengah pekan. Sekarang
telah berpindah ke Kelebang. Pekan ini punyai sebuah kedai gambar dan kedai
kerinting rambut yang menjadi tumpuan penduduk setempat dan paling dikunjungi
adalah Pusat Kesihatan Kecil yang sudah berada sejak awal tahun 60an lagi.
Pekan ini dimeriahkan lagi dengan terbinanya Pejabat Pos
yang diingini oleh penduduk kampung. Satu ketika dulu pejabat pos terdekat
adalah di Pekan Tangga Batu. Pejabat Pos Tanjung Kling adalah bangunan yang
terbesar di sini.
Bangunan satu tingkat yang kelihatan moden boleh dilihat di
tepi jalan. Kalau dibandingkan dengan bangunan yang lain terdapat di Pekan
Tanjung Kling. Pernah satu ketika dianjurkan pasar malam di Pekan Tanjung
Kling, suasana agak hidup dan meriah untuk satu tempuh yang lama.
Banyak makanan dan barangan keperluan yang dijual dan
menjadi tempat penduduk Tanjung Kling membeli barangan makanan. Ketika itu
konsep pasar malam agak baru di negara ini. Pasar malam ini dibuka setelah
tertutupnya Pasar Minggu di Pantai Kundor satu ketika dulu beroperasi di gerai
MARA sejak tahun 60an.
Sekarang banyak terdapat pasar malam di sekitar kawasan Dewan
Undangan Negeri Pantai Kundor. Pasar malam yang agak besar adalah di Pantai
Puteri berdepan dengan pentas budaya yang diadakan setiap petang dan malam minggu.
Pantai Kundor satu ketika dulu adalah perkampungan nelayan
terletak 13 km dari Bandaraya Melaka. Perhubungan tidak sukar terdapat perkhidmatan
bas dan teksi sangat mudah didapati.
Pantai Kundor satu perkampungan yang nyaman dan penduduknya
sangat ramah. Sudah tentu Pantai Kundor punyai semua kemudahan bandar dengan
penduduknya tidak mengalami masalah besar dalam urusan harian.
Setiap rumah sudah punyai kereta sendiri menunjukkan anak-anak
Pantai Kundor banyak yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Banyak
anak-anak Pantai Kundor yang telah menjawat jawatan besar dalam kerajaan dan
telah menjadi usahawan yang berjaya.
Pusat Penapisan minyak Petronas menjadi simbol kejayaan industri
Pantai Kundor selain Pusat Perdagangan Bebas Tanjong Kling dan Tangga Batu.
Pantai Kundor juga punyai Pelabuhan Tanjung Beruas untuk penjualan barangan
yang sangat sibuk. Pantai Kundor punyai kemudahan jalan raya yang sangat baik,
bebas dari jenayah dan kelihatan penduduknya saling bantu membantu dalam urusan
harian.
Sudah tentu Pantai Kundor sangat nyaman untuk diduduki dan
kerap menjadi kebanggaan anak-anak muda berasal dari Pantai Kundor. Suasana
waktu malam juga sangat kondusif. Walaupun tidak sesibuk pekan yang besar-besar
tetapi semua makanan boleh didapati dari restoran yang dibuka sampai lewat
malam.
Pantai Kundor adalah tempat kelahiran Roti John yang
menjadi terkenal di seluruh negara. Sehingga sekarang restoran menjual Roti
John yang asal masih lagi beroperasi dan menjadi tumpuan pelanggan.
Pantai Kundor tidak sunyi pada waktu malam lebih-lebih lagi
pada malam minggu. Setiap malam minggu kita dapati Pantai Puteri telah menjadi
tempat perkhemahan pelawat yang ingin bermalam.
Anak-anak muda suka beraktiviti secara berkumpulan di
hujung minggu. Pantai Kundor juga menyediakan kemudahan homestay dan yang
terakhir telah dibina sebuah hotel yang besar dan menjadi tumpuan kepada mereka
yang ingin bermalam.
Pantai Kundor juga punyai Pentas Budaya untuk aktiviti
rakyat pada sebarang masa. Setiap hujung minggu banyak aktiviti telah
dianjurkan dan telah menjadi tarikan untuk beraktiviti. Pentas Budaya adalah
kebanggaan penduduk Pantai Kundor. Setiap petang Ahad Pantai Puteri menjadi
tumpuan untuk Pasar Malam.
Pantai Kundor semangnya ada kepuasan untuk berhari raya
kepada anak kampungnya. Kunjung mengunjungi sudah bermula dari selepas subuh
lagi. Kemeriahan sudah dirasai sejak petang hari raya lagi.
Anak-anak Pantai Kundor tidak akan melepaskan peluang bersama
keluarga di pagi hari raya. Suasana kampong di hari raya sangat dirasai di
Pantai Kundor. Suasana mereka yang berdedai-dedai berjalan kaki mengunjungi
sanak-saudara yang lebih tua dapat dilihat sehingga sekarang dan tidak pernah
berubah sejak awal tahun 60an lagi.
Anak-anak berpakaian baju Melayu lengkap bersongkok dapat
dilihat datang ke setiap rumah adalah tradisi anak-anak Pantai Kundor. Semangat
ini tidak pernah berubah walaupun taraf hidup penduduk Pantai Kundor telah jauh
berubah.
Sekarang ini setiap rumah di Pantai Kundor telah punyai kereta
sendiri dengan keadaan rumah yang jauh lebih cantik tetapi semangat Pantai
Kundor tidak pernah berubah. Kalau dulu mereka balik kampung menaiki bas atau
teksi, sekarang ini hampir semua pulang ke kampong bangga dengan kereta buatan Malaysia .
Banyak anak Pantai Kundor telah berjaya dalam karier masing-masing.
Pantai Kundorlah tempat hati kerap terpaut walaupun di mana berada.
Cencaluk merupakan produk Pantai Kundor yang sangat sedap.
Produk ini dijual di sepanjang jalan menuju ke Pantai Kundor terutama di
Klebang dan Lereh. Produk ini pernah menjadi sumber rezeki orang Tanjung Kling. Boleh dikatakan
ramai penduduk Pantai Kundor bergantung rezeki kepada jualan cencaluk dan
menjadi sumber rezeki utama.
Pada masa itu, udang geragau tidak dijual secara segar seperti
sekarang. Kebanyakan udang geragau yang dibeli oleh peraih akan dibuat belacan
dan cencaluk. Banyak juga mereka yang menangkap geragau yang dipanggil mengungkuh akan
membuat cencaluk sendiri untuk dijual secara kecil-kecilan secara sendiri.
Jualan cencaluk sangat laku dan kerap ditempah oleh penjual
cencaluk dari seluruh negara. Sudah tentu cencaluk akan dihantar ke Kuala
Lumpur dan juga ke Singapura. Cencaluk pada masa itu banyak dijual di Singapura kerana hubungan
orang Melaka dan Singapura sangat rapat ketika itu.
Orang Melaka punyai banyak sanak saudara di Singapura.
Mungkin selera orang Melaka dan Singapura sama ketika itu. Pembuatan cencaluk
tidaklah sangat sukar. Sebenarnya cencaluk perlu dibuat dalam keadaan bersih. Geragau
yang ditangkap dari persisiran pantai tidak boleh dibasuh menggunakan air
tawar.
Kalau dibasuh cencaluk tidak akan menjadi, cencaluk akan
busuk seperti bau bangkai atau telur busuk. Pembuat cencaluk perlu berhati-hati
bagi memastikan geragau tidak terkena air tawar.
Kerap kali cencaluk tidak akan dibuat jika geragau dinaikkan
ke darat dari laut ketika hujan. Geragau akan dibuat belacan kalau naik pada
masa hujan. Ini lebih selamat dari cencaluk menjadi berbau. Campuran membuat
cencaluk juga tidak sukar dan tidak menggunakan bahan awet atau bahan tambah.
Cencaluk dibuat dari udang geragau, garam dan nasi saja.
Pembuatan cencaluk perlu mengikut kadar campuran yang tertentu bukan
sembarangan. Sebelum campuran dibuat, kerap menggunakan tangan akan dipastikan
tidak ada ikan-ikan kecil, ketam kecil atau udang kecil yang ada dalam geragau.
Campuran geragau perlu digaul sebati sebelum dimasukkan ke
dalam botol atau bekas bertutup untuk awetkan. Cencaluk ini perlu disimpan
dalam tempoh tertentu sebelum masak dan boleh dibuka. Apabila bekas dibuka sudah tentu
nasi masak sudah menjadi air cencaluk dan sudah tentu sedap dimakan.
Mudah kaedah membuat cencaluk. Apa yang penting ialah
penjagaan semasa diawetkan dan semasa kerja campuran. Walaupun bau cencaluk
sedikit tidak menyenangkan tetapi apabila dimakan menggunakan air asam, limau
atau bawang sudah tentu sangat enak. Lebih-lebih lagi produk cencaluk Pantai
Kundor yang asal dan dibuat oleh orang Pantai Kundor sendiri.
Sekarang ini cencaluk Pantai Kundor boleh didapati di
setiap pasar malam, super market seluruh negeri Melaka dan juga gerai jualan di
hadapan Zoo Melaka di Ayer Keroh yang terkenal kepada pelancong yang datang ke Melaka.
Banyak juga pelancong akan hanya membeli cencaluk yang
dijual di gerai-gerai kecil di sepanjang jalan di Lereh kerana mereka mahu
cencaluk Pantai Kundor yang dijual berhampiran Pantai Kundor. Ada
yang tidak mahu makan cencaluk buatan tempat lain dan hanya mahu membeli cencaluk Pantai Kundor sahaja.
Masih lagi banyak penduduk Pantai Kundor yang membuat cencaluk untuk jualan
kecil-kecilan atau untuk makanan keluarga.
Sekarang ini ramai yang suka menjual udang geragau segar
dalam mangkuk atau secara longgok kerana harga yang sangat baik dan tidak perlu
diproses untuk dibuat cencaluk. Satu longgok atau satu mangkuk dijual dengan harga RM5 dan
sangat enak kalau dibuat jemput-jemput (nama asal kuih kodok).
Lebih-lebih lagi kalau dimasak semasa segar. Kuih geragau
ini sangat enak dan pernah juga kuih garagau ini dimakan di luar negara. Udang
geragau naik bermusim bukan sepanjang tahun. Kerja menangkap walaupun senang
tetapi memerlukan tenaga untuk menolak yang dipanggil ‘sungkuh’.
Anak-anak muda tidak berminat kerja-keja ini. Namun begitu,
cencaluk Pantai Kundor boleh didapati sepanjang tahun dan sudah tentu keenakan
dapat dirasai. Pantai Kundor akan tetap terkenal dengan cencaluknya walaupun kawasan
itu telah maju seiring dengan Melaka yang telah maju...
Prof. Madya Datuk Dr. Abu Bakar
Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO / Melaka World Heritage City UNESCO @gotomelaka.blogspot.com
5 comments:
Memang terbaik lah cencaluk hehehe
Tak kenal maka tak cinta... walaupun saya orang Nogori.. Kalu dapat cencaluk perah asam limau, hiris bawang dan cili api.. Perhhh.. makan dengan nasi panas.. mak mertua lalu pun tak nampak. :) *kononnya.. kih3..
as slm kpd pihak pengurusan kilang cangcaluk,sy mewakili kursus penyediaan makanan SLDN (penyediaan mkanan), tahap SKM di PERHEBAT Sg Buluh Slgor yg di bawa Lembaga Tabung Angkatan Tentera,ingin berbesar hati nk melawat tempat tuan, jika diizinkn pihak kami minta hubgi terus ditalian sy 0136840648 En Bahauddin b Hj Idris
Betul la... tue silap2 anak nangis pun x peduli kan heheheh
kami mahu beli.cencaluk secara borong. Mohon hubungi saya di talian 0197302605. terima kasih.
Post a Comment