19 June 2013

Melaka Perkenal Peta Pelancongan

Jadi Panduan Kepada Pelancong

Idris menunjukkan Peta Pelancongan terbaharu pada sidang media di Seri Negeri

AYER KEROH, 19 Jun- Kerajaan Negeri Melaka melalui Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) akan mengedarkan Peta Pelancongan terbaharu mulai pertengahan bulan depan bagi kemudahan para pelancong mengunjungi produk-produk / tempat-tempat pelancongan menarik yang terdapat di negeri Melaka ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Wira Ir. Idris Haron berkata, Peta Pelancongan atau lebih dikenali sebagai ‘Fun Map’ di beberapa negara luar akan diedarkan di pusat-pusat produk pelancongan, selain diletakkan secara kekal di beberapa lokasi tumpuan pelancong.

“Pelancong juga boleh membeli Peta Pelancongan berkenaan pada harga kurang dari RM5 sama ada untuk disimpan sebagai cenderamata atau dijadikan panduan ketika melancong ke Melaka,” ujar beliau pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di pejabatnya, petang tadi.

Ketua Menteri memberitahu, Peta Pelancongan itu berukuran A3 dan dicetak menggunakan cetakan berkualiti.

“Mesyuarat juga telah meminta BPP mengekalkan integriti (kebolehpercayaan) terhadap Peta Pelancongan tersebut di mana setiap produk pelancongan yang dimuatkan dalam Fun Map ini mesti benar-benar wujud di tapak sebenar,” ujarnya.

Mesyuarat Mingguan Exco juga kata Ketua Menteri turut memberikan cadangan untuk menyediakan ‘star rating’ (penarafan bintang) pada produk-produk pelancongan yang terdapat di Melaka sebagai tarikan kepada pelancong.




Melaka Hari Ini@ Gotomelaka.blogspot.com
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

No comments: