26 March 2013

Tengkolok Terbesar Di Malaysia

Tengkolok Dendam Tak Sudah, MBR Iktiraf Arca Terbesar Negara

Arca Tengkolok Dendam Tak Sudah ini telah diiktiraf  oleh The Malaysia Book of Records (MBR) sebagai yang terbesar di Malaysia.

Sungai Rambai, Melaka- “Tengkolok Dendam Tak Sudah” yang dibina dengan ketinggian 9.09 meter dan punyai ukur lilit 84.5 meter bersaiz gergasi di pintu masuk Melaka arah Selatan di Sungai Rambai, Jasin, kini menjadi satu lagi mercu tanda Gerbang Selatan di negeri Melaka.

Arca “Tengkolok Dendam Tak Sudah” ini telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pada 24 Mac 2013.

Arca yang mengambil inspirasi kepahlawanan Melayu itu sesuai dengan kedudukannya yang dibina di negeri ini sinonim dengan Melaka Bandaraya Bersejarah.

Tengkolok terbesar berwarna merah hati dan putih dilengkapi lambing bulan sabit dan bintang 14 bucu ini menjadi lambang kesetiaan dan simbol perpaduan ketika di zaman Kesultanan Melayu Melaka serta kebanggaan masyarakat di DUN Sungai Rambai.

Tengkolok ini bukan sahaja sebagai lambang kehebatan pahlawan Melayu di zaman dahulu kala tetapi menjadi mercu tanda terbaharu tarikan ke Sungai Rambai. Ianya memberikan pandangan yang menarik kepada pengguna Lebuh AMJ.

Ia bukan sahaja dibina bagi melindungi tangki air setinggi 20 meter di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka–Jasin (AMJ), tapi menjadi mercu tanda terbaru sekali gus menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke gerbang Selatan Melaka.

Arca yang didirikan dengan kos RM270ribu itu memperlihatkan Sungai Rambai  aktif menggiatkan aktiviti pelancongan dan turut menjadi DUN contoh yang cemerlang dalam pembangunan bagi menarik lebih ramai jumlah kedatangan pelancong.

Malah, ia pasti menjadi kebanggaan penduduk negeri ini khususnya di DUN Sungai Rambai yang punyai semakin banyak produk pelancongan.

Mercu tanda baru yang unik ini mampu membantu Melaka meningkatkan jumlah kedatangan pelancong kepada sasaran 20 juta orang menjelang 2020.

Arca yang dibina oleh kontraktor tempatan ini siap dalam tempoh tiga bulan  menggunakan ‘fiber’ itu turut menerima sijil pengiktirafan dari The Malaysia Book of Records sebagai yang terbesar di Malaysia.  - Gotomelaka.blogspot.com



By: Farihan[Han]
Gotomelaka.blogspot.com @
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

No comments: