27 March 2013

Melaka Sasar 100,000 Pelajar IPT 2015

MELAKA HUB PENDIDIKAN TERSOHOR

Kerajaan Melaka mensasarkan 100,000 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini menjelang tahun 2015 bagi meningkatkan sektor pendidikan sekaligus mencapai taraf negeri berpendidikan tinggi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam

Industri pendidikan di Melaka terus berkembang pesat . Statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Bahagian Institusi Pengajian Tinggi (BIPT) Jabatan Ketua Menteri mencatatkan sejumlah 43,122 pelajar sedang mengikuti pengajian di 22 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan seramai 40,685 orang lagi di 27 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negeri ini, sekaligus menjadikan keseluruhannya berjumlah 83,807 orang.

Perkembangan ini jelas memperlihatkan sasaran kerajaan negeri Melaka untuk menjadikan Melaka sebagai pusat kecemerlangan pendidikan seantero dunia semakin menjadi realiti.

Dalam pada itu penambahan bilangan institusi dan pusat-pusat pengajian tinggi termasuk universiti di negeri ini sekaligus menterjemahkan bahawa Melaka terus menjadi destinasi mereka yang dahagakan ilmu.

Sepertimana pesatnya industri pelancongan Melaka BandarayaWarisan Dunia ekoran destinasi-destinasi pelancongan yang terdapat di negeri ini sentiasa menjadi tumpuan pelancong, termasuk pelancong daripada negara luar, begitulah juga pesatnya bidang pendidikan di negeri Melaka Bersejarah ini.

Tumpuan pelajar untuk melanjutkan pengajian di negeri ini bukan sahaja datang daripada luar Melaka (daripada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak), malah daripada negara-negara luar, sekaligus menjadikan Melaka hub pendidikan yang tersohor.

Sesungguhnya perkembangan sihat sektor pendidikan amat mengagumkan sekali. Meskipun dari segi saiznya, Melaka merupakan sebuah negeri kecil, namun kerajaan negeri Melaka sentiasa memastikan peluang-peluang pendidikan di negeri ini sentiasa terbuka luas bagi menjadikan negeri ini lembah pendidikan yang tersohor.

Kepelbagaian pengajian dari peringkat sijil hingga ke PhD yang ditawarkan oleh IPTA/IPTS di Melaka banyak memberi kelebihan kepada pelajar untuk meneruskan pengajian mereka di negeri ini. Langkah Kerajaan Negeri Melaka membuka pintu kepada mana-mana IPT di dalam maupun di luar Negara menanam pelaburan mereka di negeri ini dengan membuka kampus masing-masing sekaligus menjadikan Melaka pusat ilmu yang tersohor.

Kerajaan Negeri Melaka juga telah mengambil inisiatif mewujudkan jabatan IPT di Jabatan Ketua Menteri agar mudah untuk semua IPT di sini berurusan.

Sehingga kini (2013), Melaka punyai lebih 80,000 pelajar dan bakal bertambah dari masa ke semasa, pada masa sama penambahan pelajar/penuntut juga menyumbang kepada peningkatan sektor ekonomi negeri Melaka.



By: Farihan[Han]
Gotomelaka.blogspot.com @
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

No comments: