30 December 2011

Melaka Tram Projek

Orang Ramai Boleh Beri Pandangan 

Tram...

BANDARAYA MELAKA – Orang ramai berpeluang memberi maklum balas berkaitan projek pembinaan perkhidmatan Tram Melaka dalam tempoh terdekat, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam. 

Beliau berkata orang ramai akan dapat menyaksikan model dan kaedah-kaedah yang digunakan untuk projek tersebut yang bakal menjadi produk baru pelancongan negeri. 

“Pameran tersebut akan diadakan secepat mungkin buat tatapan pengunjung di samping menerima maklum balas dari pengunjung berkaitan perkhidmatan pengangkutan tram pertama yang menggunakan gas asli (NGV),” katanya kepada Bernama di sini. 

Mohd Ali berkata pameran tersebut akan diadakan di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, selama tiga bulan. 

Beliau berkata cadangan yang dikemukakan pada 27 Okt lepas menyatakan pembinaan Tram bukan sahaja untuk produk pelancongan malah berfungsi sebagai pengangkutan awam di negeri ini. 

Tram ini berbeza dengan monorel kerana ia berfungsi sebagai pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang sedia ada di Melaka,” katanya. 

Projek pembinaan Tram Melaka dilaksanakan oleh Syarikat Mrails International Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Ketua Menteri (CMI) melibatkan kos RM272 juta dan dijangka beroperasi pada Mei tahun depan. 

Koridor Melaka Tram akan dimulakan dari depot bersebelahan Plaza Tol Ayer Keroh ke bandar raya warisan Melaka meliputi jarak 40 km yang merangkumi 11 daripada 14 kawasan tarikan pelancong. 

Trem ialah pengangkutan rel yang lebih ringan daripada kereta api dan berbeza daripada bentuk lokomotif lain memandangkan trek dibina di atas jalan raya.


Ia berupaya mengangkut 120 penumpang pada satu-satu masa dengan kelajuan 40 km/j, dan sesuai untuk golongan kurang upaya (oku) kerana reka bentuk paras buminya.



No comments: