16 April 2011

Keris Taming Sari Hang Tuah

Keris Taming Sari...

Taming Sari adalah nama seorang pendekar Jawa dalam kerajaan Majapahit seperti yang tersebut di dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut hikayat ini, Taming Sari adalah seorang panglima yang paling handal di Majapahit ketika itu, dan beliau telah ditugaskan oleh Bendahara Majapahit, Patih Gajah Mada untuk membunuh Hang Tuah.

Taming Sari dikatakan seorang yang kebal tidak dapat dicederakan oleh senjata. Bagaimanapun, kekebalannya adalah terletak pada keris yang digunakannya. Hang Tuah pula pada masa itu telah berguru kepada seorang ahli pertapaan Jawa bernama Sang Adi Putera. Gurunya itu telah memberitahu akan kelemahan Taming Sari. Oleh itu, pada hari pertarungan antara kedua pendekar ini di hadapan Sultan Melaka dan Betara Majapahit, Hang Tuah telah berjaya merampas keris Taming Sari dan menggunakan keris itu untuk menikamnya hingga mati.

Sebagai menghargai kejayaan Hang Tuah itu, Betara Majapahit telah menganugerahkan keris itu kepada Hang Tuah. Keris ini dikenali sebagai “Keris Taming Sari” dan telah dibawa pulang ke Melaka. Keris yang sama juga telah digunakan oleh Hang Jebat untuk menderhaka Sultan Melaka. Hang Jebat juga dikatakan kebal kerana memiliki keris Taming Sari. Dalam pertarungannya yang terakhir dengan Hang Tuah, keris Taming Sari telah berjaya dirampas semula oleh Hang Tuah yang kemudiannya menikam mati Hang Jebat.

Keris ini adalah Keris Kerajaan bagi jawatan Laksamana Melaka, yang terakhir sekali dijawat dan dipegang oleh (Bendahara) Hang Tuah. Keseluruhan sarung keris ini diseliputi oleh dedaun emas. Keris ini dihargai sebagai berkeupayaan untuk berlegar di udara ke mana-mana haluan dalam mengejar musuh.

Adalah dikatakan bahawa Hang Tuah memberi keris ini kepada Tun Mamat untuk dibawa balik menghadap Sultan pada masa itu kerana beliau terlalu malu untuk menghadap sendiri Kebawah Duli Sultan kerana gagal mendapat Puteri Gunung Ledang untuk mengahwini baginda.

Tatkala Sultan Mahmud Shah meninggalkan Melaka, baginda membawa keris ini bersama-sama baginda ke Kampar, Sumatera pula. Kemudian baginda mengurniakan keris ini kepada anakanda baginda Raja Mudzafar Shah yang kemudiannya berangkat ke Perak (Darul Ridzuan) dan ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama.



@gotomelaka.blogspot.com

No comments: