Karnival GP Joran Berita Harian di Pantai Puteri
Gimik~ dari kiri, Ahli Majlis DUN Pantai Kundor, Norazman Hasan, Pegawai Tourism Malaysia, Norazmi Omar, Exco Kesihatan Dan Pembangunan Sukan Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superitendan Razali Bakar, Ketua Polis Balai Tanjung Kling, Roslan Abd Aziz dan Pengurus Cawangan NSTP Melaka, Saiful Temu menekan hon sebagai gimik pelepasan peserta memancing sempena GP Joran BH di Pantai Puteri.
MELAKA: Kira-kira 1,200 kaki pancing menyertai pertandingan GP Joran BH Pantai Puteri di sini, dengan acara memancing bermula pada hari Ahad 2 Mac tepat jam 8 pagi.
Karnival GP Joran BH yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah itu menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM44,000 serta hadiah sampingan dan cabutan bertuah.
Joran Pantai Puteri yang membuka tirai kalendar GP Joran BH 2014 itu turut menerima tajaan daripada PERODUA, G-Motorsport, TCE Tackle, UFL Coleman, Petani, Adabi, Maggi, Nescafe, Catalyst dan Clixster.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab Rahaman Ab Karim yang merasmikan karnival itu berkata, penganjuran GP Joran BH yang turut memasuki kalendar Tahun Melawat Malaysia 2014 itu mampu melonjakkan lagi jumlah pelancong ke Melaka, sekali gus mempromosikan Pantai Puteri sebagai lokasi riadah keluarga.
Bagi memeriahkan lagi karnival berkenaan, buat kali pertama penganjur memberi hadiah misteri kepada pengunjung yang menyambut hari kelahirannya pada 1 dan 2 Mac ini dengan mereka hanya perlu menunjukkan kad pengenalan kepada urus setia pada hari terbabit bagi menebus hadiah misteri.
Karnival yang sudah memasuki tahun ke-14 penganjurannya di negeri bersejarah ini turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan.
“Program berkonsepkan riadah keluarga dengan menawarkan pelbagai aktiviti. Apabila suami memancing, isteri berpeluang menyertai pertandingan menganyam ketupat, karaoke dan sukan rakyat. Kanak-kanak pula berpeluang menyertai pertandingan mewarna, tarik upeh dan bola sepak pantai.
“Selain itu, penganjur juga menyediakan ruang berniaga berkonsepkan ‘car boot sales’ atau jualan but kereta. Demonstrasi memanah dan paintball juga diadakan,” katanya.
GP Joran BH Pantai Puteri menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 untuk juara, naib juara RM10,000, ketiga RM5,000 dan ke-empat RM1,000 manakala pemenang hingga ke-30 menerima wang tunai dan serta hamper untuk pemenang hingga ke-40.
Karnival diadakan pada 1 & 2 Mac 2014 (Sabtu/Ahad)
Antara peserta yang memulakan pertandingan memancing pada Karnival Pusingan Pertama GP Joran BH sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di Pantai Puteri, Melaka.
Gotomelaka.blogspot.com @
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City