08 January 2014

Trofi Piala Dunia FIFA

FIFA World Cup Trophy


Trofi Piala Dunia / World Cup Trofi

Info Trofi Piala Dunia FIFA 

Trofi Piala Dunia pertama mengambil sempena nama Jules Rimet, Presiden FIFA yang pertama yang juga pengasas kejohanan tersebut telah diukir oleh pereka terkenal Perancis, Abel La Fleur. Ia berbentuk octagonal berlambangkan bumi dipegang oleh Dewa Kemenangan yang bernama Nike (dewa Greek purba). Ia diperbuat daripada emas padu, mempunyai berat 3.8 kilogram dan tinggi 35 sentimeter.

Piala Jules Rimet pernah dicuri sewaktu dipamerkan di Westminster Central Hall, London menjelang Piala Dunia 1966 di England, namun ditemui semula tujuh hari kemudian oleh anjing bernama Pickles.

Akhirnya, pada Piala Dunia 1970 di Mexico, FIFA memutuskan Brazil menyimpan piala Jules Rimet buat selama-lamanya apabila Negara itu berjaya muncul sebagai Negara pertama memenangi tiga kejuaraan iaitu pada 1958, 1962 dan 1970.

Kejadian yang tidak disangka berlaku pada 1983 apabila piala berprestij itu hilang selama-lamanya apabila dicuri daripada Konfederasi Bola Sepak Brazil(CBF) dan dipercayai telah dileburkan. Ia tidak dijumpai sehingga hari ini.

Badan bola sepak dunia, FIFA kemudian membuat trofi baru dengan menggunakan emas 18 karat, 36.5cm tinggi, dan mempunyai berat 5kg. Piala tersebut direka oleh pereka terkenal Itali, Silvio Gazzaniaga dan digunakan sehingga sekarang. FIFA menetapkan hanya ketua-ketua Negara dan juara Piala Dunia sahaja boleh menyentuh piala tersebut.

Replika trofi yang disaluti emas akan diberi kepada pemenang untuk disimpan. Piala yang asli tidak akan diberikan kerana FIFA telah mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku dahulu… - gotomelaka.blogspot.com


Piala Dunia FIFA

Piala Dunia FIFA, atau selalunya disebut sebagai Piala Dunia merupakan pertandingan yang paling penting dalam bola sepak antarabangsa. Ia dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Federation Internationale de Football Association), organisasi yang mentadbir sukan berkenaan dan ia dipertandingkan oleh pasukan-pasukan bola sepak kebangsaan lelaki dari kalangan negara-negara ahli FIFA. Kejohanan ini diadakan setiap empat tahun sejak 1930(kecuali dalam tahun 1942 dan 1946 disebabkan oleh Perang Dunia Kedua). Walau bagaimanapun, ia lebih merupakan acara yang sentiasa berjalan kerana pertandingan kelayakan mengambil masa tiga tahun di antara pusingan-pusingan akhir.

Fasa pertandingan akhir(biasanya dipanggil sebagai pusingan akhir) melibatkan 32 pasukan kebangsaan yang bertanding selama empat minggu di negara tuan rumah yang dicalonkan, yang mana pertandingan ini merupakan pertandingan yang paling ramai penontonnya di dunia.

Pertama kali perlawanan Piala Dunia ditayangkan adalah dalam tahun 1954 dan kini menjadi acara yang paling ramai penonton dan paling diikuti di dunia, melebihi Sukan Olimpik. Cabutan, yang mana menentukan pengagihan pasukan-pasukan ke dalam kumpulan-kumpulan, disaksikan oleh 300 juta penonton. Pada perlawanan akhir kejohanan ini pula sebanyak 1.1 bilion individu telah menyaksikannya. Penonton terkumpul bagi acara kejohanan Piala Dunia 2002 untuk keseluruhan perlawanan dianggarkan 28.8 bilion. 

Sepanjang 19 kejohanan yang telah diadakan, hanya lapan negara sahaja yang pernah memenangi pusingan akhir Piala Dunia iaitu Brazil yang menang sebanyak lima kali dan juga satu-satunya pasukan yang tidak terlepas satu kejohanan pun; diikuti Itali dengan empat kejuaraan; Jerman dengan tiga; Uruguay (juara pertama Piala Dunia) dan Argentina dengan dua setiap satu; dan England, Perancis dan Sepanyol satu. Juara semasa adalah Sepanyol yang menjuarai Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan.

Kejohanan Piala Dunia seterusnya diadakan di Brazil pada tahun 2014.




Gotomelaka.blogspot.com @
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

No comments: