17 September 2013

LANDASAN LTAM DIPANJANGKAN 1365 METER LAGI

Mudahkan Pesawat Boeing 737-500 Mendarat Dengan Kapasiti Penumpang Penuh

Pesawat Boeing 737...
Kerajaan negeri akan mengemukakan kertas cadangan kepada Kementerian Pengangkutan berhubung kerja-kerja memanjangkan lagi landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam bagi membolehkan pesawat Boeing 737-500 atau Airbus 320 melakukan pendaratan dengan membawa kapasiti penumpang penuh (full load), sekaligus menjadikan LTAM lebih vibrant untuk menampung kemasukan pelancong dan pelabur dari luar.
LAPANGAN TERBANG Antarabangsa Melaka(LTAM) di Batu Berendam akan menjadi pintu masuk utama bagi pelancong dan pelabur apabila landasannya dipanjangkan bagi membolehkan pesawat Boeing 737-500 atau Airbus 320 mendarat.

LTAM kini mempunyai landasan sepanjang 2,135 meter dan menimbulkan kesukaran bagi pesawat Boeing 737-500 atau Airbus 320 mendarat kerana panjang landasan yang diperlukan bagi membolehkan kedua-dua pesawat itu mendarat ialah 3,500 meter.

Sejarah lapangan terbang Melaka bermula apabila tentera Jepun bertindak memindahkan landasan kereta api yang menghubungkan Tampin ke Bandar Melaka melalui Batu Berendam.

Landasan itu dibawa ke sempadan Thailand-Burma bagi membina kereta api maut di Kancanapuri. Ramai orang Melaka juga dijadikan buruh paksa oleh Jepun di sana.

Sekiranya kita ingin melihat bekas gudang kereta api, ia masih ada lagi dan kini telah dijadikan sebagai sebuah pasar raya. Laluan kereta api dari stesen Bandar Melaka (tapak bangunan Graha Maju) hingga ke Tampin adalah sejauh 34 kilometer dan tambang yang dikenakan ialah sebanyak 35 sen.

Selepas Perang Dunia Kedua, British yang kembali ke tanah air telah menjadikan bangunan bekas stesen kereta api itu sebagai lapangan terbang.

Sejarah yang terpenting bagi lapangan terbang itu ialah apabila menerima kepulangan Rombongan Merdeka dari London pada 20 Februari 1956 bagi mengisytiharkan tarikh kemerdekaan negara. Apapun dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri dalam membangunkan industri penerbangan adalah satu usaha yang dapat membantu meningkat ekonomi dan juga sektor pelancongan negeri ini.


Kerajaan negeri akan mengemukakan kertas cadangan kepada Kementerian Pengangkutan berhubung kerja-kerja memanjangkan lagi landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam bagi membolehkan pesawat Boeing 737-500 atau Airbus 320 melakukan pendaratan dengan membawa kapasiti penumpang penuh (full load), sekaligus menjadikan LTAM lebih vibrant untuk menampung kemasukan pelancong dan pelabur dari luar.

Ketua Menteri, Datuk Wira Ir. Idris Haron berkata, landasan sedia ada sekarang iaitu 2,135 meter difahamkan menimbulkan sedikit kesukaran bagi pendaratan pesawat Boeing 737-500 atau Airbus 320 dengan kapasiti penumpang penuh (full load) iaitu sekitar 140 hingga 170 orang penumpang.

"Ini antara masalah teknikal yang sedang kita berikan keutamaan termasuk memanjangkan landasan dari 2,135 meter kepada 3,500 meter atau 1,365 meter lagi, di samping menambah baik beberapa kemudahan sedia ada.

"Jika ini berjaya, ia akan memberi nilai tambah lebih besar terhadap hubungan kerjasama udara, bukan sahaja antara Melaka dengan Tianjin Ankeyunda Air Agent Service Co. Ltd., (ANKE) yang berpangkalan di Wilayah Chaoyang, Beijing, China bahkan antara Melaka dengan beberapa syarikat penerbangan lain lain di rantau ini.

"Kalau ini berlaku, kita (Melaka) juga bukan sekadar menerima tambahan peningkatan jumlah pelancong tetapi turut menerima kemasukan lebih ramai pelabur asing, sekaligus menjadikan Melaka lebih vibrant dalam konteks industri pelancongan pada masa depan," ujarnya.

Ketua Menteri berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan perbincangan kerjasama antara kerajaan negeri diwakili Melaka Air dengan wakil Tianjin Ankeyunda Air Agent Service Co. Ltd., di pejabatnya di Menara PKNM, hari ini.

Turut hadir, Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau Pulau, Datuk Ghazale Muhamad; Ahli Dewan Undangan Negeri Klebang, Lim Ban Hoong; Pengerusi Tianjin Ankeyunda Air Agent Service Co. Ltd., Han Weihua; Pengarah Eksekutif Tianjin Ankeyunda Air Agent Service Co. Ltd., Duan Lian; Naib Pengurus Besar Tianjin Ankeyunda Air Agent Service Co. Ltd.,Chen Yanbin.

Hadir sama, wakil dari PSB International Sdn.Bhd. diketuai Ketua Konsultan, Sheon Soo Huan; Othman Abu serta Samsudin Che Mat.

Idris berkata langkah Tianjin Ankeyunda Air Agent Service Co. Ltd., mahu menggunakan kemudahan di LTAM membuktikan keyakinan dari syarikat berkenaan menjadikan LTAM sebagai pintu masuk utama penerbangan sewa khas terus dari Tianjin - Hong Kong - Melaka atau Tianjin - Melaka - Bali serta beberapa destinasi lain.

Beliau yakin, LTAM Batu Berendam akan menjadi pintu masuk ke Melaka melalui udara yang penting sesuai dengan kelengkapan yang dimiliki, selain pintu masuk menggunakan jalan raya termasuk dari jajaran Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan laut melalui kemudahan pelabuhan sedia ada.

"Selain mengadakan perbincangan dengan Tianjin Ankeyunda Air Agent Service Co. Ltd., kita juga ada mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan lain seperti Penerbangan Malaysia, Airasia, Firefly dan juga Malindo Air berhubung operasi syarikat berkenaan di LTAM," ujarnya.

Pada masa yang sama, Ketua Menteri turut mengumumkan perlantikan Ghazale dan Ban Hoong sebagai 'Special Liaison Person' bagi memastikan penerbangan dari Tianjin ke Melaka dan destinasi pelancongan lain akan berlaku secepat mungkin.

"Pihak Tianjin Ankeyunda Air Agent Service Co. Ltd. telah bersedia untuk terbang ke Melaka sekiranya beberapa masalah teknikal di LTAM dapat kita selesaikan dalam tempoh terdekat," jelas Idris.

Sementara itu Han Weihua berkata, syarikatnya kini mengendalikan perkhidmatan penerbangan sewa khas ke beberapa destinasi antarabangsa seperti

Thailand; Maldives; Korea Selatan dan Hawaii serta penerbangan domestik di China di samping turut bekerjasama dengan lebih 500 agensi pelancongan di China dengan sasaran sebanyak 2 juta penumpang setahun.

"Menerusi pertemuan tadi, kami amat berpuas hati dengan komitmen Kerajaan Negeri Melaka berhubung kerjasama strategik laluan udara antara Tianjin ke Melaka dan beberapa laluan lain di Indonesia. Jika ia menjadi kenyataan, sudah tentu akan memberi impak besar kepada Melaka dalam sektor pelancongan yang sememangnya sudah terkenal di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Han Weihua mensasarkan seramai 100,000 pelancong dari China akan menggunakan kemudahan laluan baru antara Tianjin-Hong Kong- Melaka atau Tianjin-Melaka-Bali bagi tempoh 2013-2014 dan jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada 500,000 pelancong menjelang tahun 2018.

" Kita akan menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Kerajaan Negeri Melaka, agensi pelancongan di Melaka, agensi-agensi pelancongan tempatan dan semua tourism player bagi menyediakan pakej-pakej pelancongan lebih menarik kepada pelancong antarabangsa, terutama dari China," ujarnya.

Han Weihua dan delegasi Tianjin Ankeyunda Air Agent Service Co. Ltd. Serta PSB International turut mengadakan lawatan ke LTAM Batu Berendam bagi melihat sendiri kemudahan yang disediakan.



Melak Hari Ini@ Gotomelaka.blogspot.com
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

No comments: