Senarai Hitam Pemaju Yang Engkar - Mohd Ali
Kamarudin menyerahkan fail tugasan kepada Abu Bakar, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah(YDP MPAG) yang baru 2013 sambil disaksikan Mohd Ali dan Othman
AYER KEROH, MELAKA- Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini disaran menubuhkan Unit Memantau
Pembinaan Rumah Kos Rendah (Penyenaraian Hitam) bagi memantau pemaju swasta yang
gagal menyediakan projek pembinaan rumah kos rendah di kawasan yang dibangunkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata,
kontraktor-kontraktor yang engkar melaksanakan pembinaan rumah kos rendah perlu
disenarai hitamkan supaya syarikat berkenaan tidak diberi peluang untuk
melaksanakan projek baru di masa hadapan.
"Ini kerana, terdapat kontraktor yang tidak menepati
syarat, mereka tidak akan diberikan layanan bagi kelulusan pelan-pelan baru
kerana akibat tindakan mereka ini ianya sekaligus menidakkan rakyat yang
berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.
"Kita mesti mempunyai disiplin dalam membantu golongan
berpendapatan rendah, jika tidak akhirnya nanti, orang kaya akan terus menggunakan
kelemahan-kelemahan pentadbiran bagi mengumpul kekayaan dan golongan
berpendapatan rendah tertekan," tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Angkat
Sumpah Terima Perlantikan Datuk Bandar, Yang Dipertua & Ahli Majlis Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka Tahun 2013 di Dewan Seri Negeri di sini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Othman
Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Omar Kaseh; Ahli-Ahli Exco
kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka.
Mohd Ali memberitahu, Datuk Bandar, Yang Dipertua dan ahli
majlis PBT yang mengangkat sumpah terima pelantikan bagi sesi 2013 untuk
melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada
masyarakat.
Menurutnya, penglibatan ahli majlis PBT yang dilantik adalah
untuk mewakili kepentingan orang ramai dan masyarakat setempat.
"Ahli majlis dianggap sebagai orang perantara antara
masyarakat setempat dan pihak kerajaan di mana mereka dapat menyalurkan kehendak
serta maklum balas dan hasrat kerajaan kepada masyarakat.
"Lebih penting, semua pelaksanaan polisi kerajaan harus
dimaklumkan kepada masyarakat setempat agar mereka diberi kefahaman agar tidak
menimbulkan sebarang keraguan," ujarnya.
Mohd. Ali berharap semua ahli majlis yang dilantik itu dapat
berusaha meneruskan legasi sebagai sebuah PBT yang mampan berdasarkan laporan
jaringan petunjuk bandar tersebut.
Sementara itu, Pengurus Besar Dunia Melayu Dunia Islam(DMDI),
Abu Bakar Abdul dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Melaka(MPAG)
yang baru menggantikan Kamaruddin Md. Shah yang ditukar ke Perbadanan Hang Tuah
Jaya.
Abu Bakar.. mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah Melaka(YDP MPAG) tersebut bagi sesi 2013
di hadapan Mohd Ali.
Turut mengekalkan jawatan masing-masing ialah Datuk Bandar
Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah(MBMB), Datuk Zainal Abu, Yang Dipertua Majlis
Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Sapiah Haron dan Yang Dipertua Majlis
Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Hussin.
Seramai 28 muka baru ahli majlis PBT turut mengangkat sumpah
terima lantikan terdiri daripada MPAG(10), MBMB (6), MPJ (11) dan MPHTJ (1).
Sementara itu Abu Bakar, 60, ketika ditemui melahirkan rasa
terkejut apabila dimaklumkan dua minggu lalu mengenai keputusan mesyuarat Exco
untuk melantiknya sebagai Yang Dipertua MPAG yang baru.
"Saya memang tidak menjangka akan dilantik ke jawatan
ini namun saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas kepercayaannya terhadap
saya,'' katanya.
Beliau sebelum ini pernah dilantik sebagai Pengurus Besar
Tabung Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) dari 2006 hingga 2010 dan selepas itu
menerima jawatan sebagai Pengurus Besar DMDI dari 1 Januari 2011 hingga sekarang.
Abu Bakar berkata, beliau memberi jaminan untuk melaksanakan
tanggungjawab yang sebelum ini diuruskan oleh Kamaruddin bagi meneruskan legasi
di Majlis Perbandaran Alor Gajah Melaka (MPAG).
Ujarnya, perkara pertama yang akan dilaksanakan selepas
pelantikan itu ialah berjumpa dengan kakitangan MPAG, pemimpin masyarakat,
peniaga, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penduduk
di Alor Gajah.
“Melalui pertemuan ini sekurang-kurangnya saya dapat
mengetahui masalah-masalah yang dihadapi mereka sebelum sebarang tindakan diambil bagi
mengatasi masalah berkenaan,'' ujarnya.
Pegawai Daerah Melaka Tengah, Rosnani Latif mengetuai Ahli
Majlis PBT MBMB(Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) mengangkat sumpah jawatan
Pengarah PTG Melaka, Datuk Roslan Ibrahim mengetuai majlis angkat sumpah Ahli Majlis PBT MPHTJ(Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya)
Datuk Bandar, Yang Dipertua & Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) Negeri Melaka Tahun 2013
Yang Dipertua & Ahli Majlis MPJ (Majlis Perbandaran Jasin) 2013
Yang Dipertua & Ahli Majlis MPAG (Majlis Perbandaran Alor Gajah) 2013
Yang Dipertua & Ahli Majlis MPHTJ (Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya) 2013
Datuk Bandar & Ahli Majlis MBMB (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) 2013
Melaka Bandaraya Warisan Dunia @gotomelaka.blogspot.com