20 September 2013

Presiden Singapura Lawat Melaka

Bandaraya Warisan Dunia UNESCO


Kunjungan Hormat Presiden Republik Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam(depan tiga dari kiri) melawat Bukit St. Paul, Melaka salah satu destinasi pelancongan yang popular semasa melakukan lawatan ke Malaysia di Melaka.
Sebelum itu beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Di pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob di Istana Melaka selain melawat Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka serta Muzium Baba dan Nyonya

BANDARAYA MELAKA- Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri Toh Puan Zurina Kassim menerima kunjung hormat Presiden Singapura, Dr Tony Tan Keng Yam serta isteri, Mary Tan, di Istana Melaka, sempena lawatan rasmi mereka ke Melaka, hari ini (20 September 2013).

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Wira Ir. Idris Haron dan isteri, Datin Wira Fadilah Abdullah.

Terdahulu, Mohd Khalil dan Zurina bersama Idris serta Fadilah telah menyambut ketibaan Dr. Tony Tan dan Mary Tan di Istana Melaka kira-kira jam 11.05 pagi, sebelum diperkenalkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Selepas menandatangani buku pelawat, Dr. Tony Tan serta delegasinya mengadakan perbincangan kira-kira sejam dengan delegasi Melaka diketuai Mohd Khalil dan Idris sebelum menghadiri majlis makan tengah hari.

Tony Tan merupakan pemimpin Singapura yang pertama melawat Malaysia dengan menaiki bas dalam lawatan rasmi tiga hari ke negara ini bermula Rabu lepas.

Dr. Tan serta delegasi dijadual melawat kawasan pelancongan dan warisan di Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, antaranya Bukit St Paul; Porta De Santiago; Muzium Kesultanan Melaka dan Muzium Baba Nyonya serta Tun Tan Cheng Lok Centre for Asian Urban and Architecture Heritage yang dikendalikan National University of Singapore.

Dr. Tony Tan dan isteri, Mary Tan melawat Melaka sebagai sebahagian lawatan rasmi tiga hari ke negara ini bermula Rabu lepas dan dijadual berlepas pulang ke Singapura malam ini.


Tapak Pilihan Bagi Warga ‘Kota Singa’ Melancong, Melabur

Melaka kini berpotensi menjadi tapak pilihan baharu kepada pelabur-pelabur Singapura di sektor pelaburan industri dan perkhidmatan sejajar dengan pembangunan pesat yang melanda negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Wira Ir. Idris Haron berkata, keyakinan tersebut dinyatakan sendiri oleh Presiden Singapura Dr. Tony Tan pada sesi kunjung hormat dan majlis makan tengah hari bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob yang turut dihadiri isteri Presiden, Mary Tan serta Toh Puan Zurina Kassim dan Datin Wira Fadilah Abdullah di Istana Melaka.

Idris memberitahu, Dr. Tony Tan begitu kagum melihat persekitaran Melaka yang disifatkan cukup cantik, kemas dan bersih dan pembangunan negeri ini di mana seterusnya beliau (Presiden) menganjurkan supaya Melaka melihat peluang-peluang baharu yang boleh ditawarkan kepada pelabur-pelabur Singapura untuk bersama-sama memberi galakan dalam penambahbaikan kualiti kehidupan.

“Apa yang membanggakan, Dr. Tony Tan juga ada menyatakan bahawa Melaka kini sebagai tapak pilihan orang Singapura di dalam bidang industri dan perkhidmatan. Justeru saya berharap apa yang dinyatakan Presiden itu akan menjadi kenyataan di mana lebih banyak lagi pelaburan dari Singapura masuk ke Melaka,” kata Idris.

Ketua Menteri memberitahu, Dr. Tony Tan turut menyebut bahawa Melaka sudah jauh berbeza berbanding masa-masa lalu, terutamanya di sektor pelaburan industri dan perkhidmatan .

“Presiden mengambil contoh pelaburan oleh syarikat Harimau Kuat iaitu kilang pengeluar serbuk pencuci yang dulunya hanya mempunyai nilai pelaburan sebanyak S$30,000, hari ini sudah mencecah S$250 juta. Katanya, besar sungguh perkembangan kemajuan itu dan beliau juga kagum di mana industri yang dahulunya kecil kini sudah menjadi besar dan diiktiraf dunia.

Begitu juga dengan sektor perkhidmatan lain seperti Mahkota Medical Centre, Hatten Square dan Mahkota Hotel iaitu antara pelaburan dari Singapura yang membawa kepada nilai plaburan lebih RM1.1 bilion di Melaka. Juga terdapat sebanyak 19 kilang milik pelabur Singapura di Melaka, terbesar ialah kilang Flexibal Printed Secert Board yang melabur sebanyak RM250 juta. Presiden berkata, pelabur Singapura tidak silap memilih Melaka sebagai tapak pelaburan mereka,” ujar Idris.

Ketua Menteri seterusnya menyifatkan kunjungan Presiden Singapura ke Melaka sebagai menampakkan kebersamaan di antara Melaka dan Singapura, terutamanya dari aspek sejarah apabila Melaka dan Singapura adalah merupakan dua dari tiga negeri Selat iaitu Melaka, Singapura dan Pulau Pinang.

“Saya juga rasa gembira apabila Dr. Tony Tan sendiri menyebut tentang beberapa produk pelancongan termasuk Sungai Melaka yang beliau anggap begitu menakjubkan kepada pelancong-pelancong Singapura. Sehingga hari ini kita mendaftar lebih 3 juta pelancong dari Singapura yang datang atau lebih kurang 50 peratus dari pelancong luar negara yang datang ke Melaka adalah dari Singapura,” kata Idris.

Beliau seterusnya menganggap lawatan Presiden Singapura adalah sebagai manifestasi kepada minat rakyat Singapura yang datang beramai-ramai menerjah ke Melaka di dalam program-program pelancongan yang dianjurkan sejak kebelakangan ini.

“Sebab itu apabila Presiden Singapura sampai ke Melaka, ia adalah satu publisiti yang cukup besar kepada kita terutama kepada pelancong-pelancong yang datang dari Singapura. Malah Presiden turut kagum apabila dimaklumkan kita menerima lebih 12 juta pelancong setiap tahun, dan seterusnya beliau mencadangkan supaya kita menerokai beberapa sektor pelancongan baharu bagi menarik lebih ramai pelancong Singapura datang,” kata Ketua Menteri. 


Presiden China Hu Jintao semasa melawat Melaka pada 2009..



Gotomelaka.blogspot.com @
Melaka Bandaraya Warisan Dunia / Melaka World Heritage City

No comments: